Friday, September 30, 2005

Lapan Ringgit Empat Puloh Sen

Esok harga sekotak rokok [20 batang] ialah lapan ringgit enam puloh sen. Bujet (betapa buruknya istilah ini) yang dibentang tadi petang (gambar bawah) sekali lagi menggunakan strategi yang pertama kali dipakai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertengahan tahun 90-an. Cukai ke atas rokok naik tiap-tiap tahun...

Kata dasar dalam kenaikan harga rokok ialah "cukai." Perdana Menteri Abdullah mengumumkan kerajaan menaikkan tarif cukai (dengan "C" kapital) rokok kepada 13 peratus--alasannya ialah dengan hujah agar para perokok berhenti merokok. Dan hujah itu bolehlah dirumuskan sebagai aspek "kesihatan rakyat."

Jangan lupa, Anwar menaikkan tarif rokok ketika ekonomi negara sedang pesat berkembang. Lapan peratus perkembangan ekonomi Malaysia waktu itu seiring dengan, misalnya, China yang baru bangkit daripada kepungan sistem ekonomi tertutup. Aku kira, sekiranya dahulu Anwar menaikkan tarik rokok 50 peratus pun rakyat tidak akan merungut. Tetapi tadi... sama sekali bukan 'creative solution'.

Rata-rata srata kelas yang menghisap rokok ialah kelas bawah. Nelayan dan petani. Pekerja kilang dan pemandu teksi--cukai rokok dinaikkan ketika negara sedang mengalami defesit, ketika harga minyak [deisel dan petrol] baru sahaja melambong, ketika kerajaan akan menghapuskan subsidi kepada perubatan dan stor ubat (dispenseri) dalam Rancangan Malaysia Ke Lapan (RMK8), ketika bulan depan adalah bulan puasa dan kemudian Idul Fitri dan Gong Xi Fa Chai, dan Hari Natal... wang siapakah yang sesungguhnya akan dikorek daripada cukai yang setinggi itu. Bukan wang Menteri atau kolongmerat besar, yang sesen pun keuntungan berjuta ringgit akan disentuh gomen.

Oleh itu, kata dasar dalam kenaikan harga rokok bukan "kesihatan" (baca: kepentingan rakyat teramai) tetapi ialah "Cukai," iaitu satu kaedah untuk "merompak" wang rakyat terbanyak dengan hujah kononnya untuk kesihatan rakyat. Tidak, PM sedang bercakap tentang wang; bukan tentang kesihatan... dan di Parlimen petang dia, dia berbohong. Munafik.

Aku perokok. Aku tahu, ramai Menteri dan Timbalan Menteri juga perokok. Tetapi aku juga mahu minta dikira, berapa ramai diktator di muka dunia ini yang tidak perokok. Setidak-tidaknya, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra adalah seorang perokok, dan dia jauh lebih demokratik berbanding Tun Dr Mahathir Mohammad. Hitler juga tidak merokok! Jadi, mungkin merokok tidak boleh sama sekali dijadikan tataukur untuk menjadi seorang pemimpin yang demokratik atau yang mencengkam. Tidak! Itu bukan ukurannya. Pada titik inilah, Anwar pernah salah baca--mungkin kerana ghairah untuk mengikuti jejak bekas ketuanya, Dr Mahathir yang tidak bau rokok pada mulutnya--tetapi 'berbau darah' dalam dasar-dasarnya.

Dosa-dosa munafik ini harus segera ditebus... dan PM Abdullah, mungkin hanya seorang pengikut yang buta, alias "taklid." Tiga belas peratus, atau lapan ringgit empat puloh sen adalah soal wang, bukan, ["kununnya"] soal moral.

Nota: Aku membayangkan semua perokok akan keluar ke jalan raya di Kuala Lumpur, dan aku membayangkan bagaimana para politikus itu akan 'menyembah' para perokok ini untuk kekal berkuasa!

Wednesday, September 07, 2005

Berita: "Up Date"


AKU benci RTM--warna tekstura berita jam lapan yang cerlang-merlang, silau-milau, program jenaka yang banal, drama yang membodohkan, kaki bodek yang menjadi pengacara, pembaca berita yang tidak muda sampai intonasi garau Farid Esmeth Emir yang seperti mahu 'menerkam', sedangkan berita yang dibacanya tidaklah sepenting mana. Ramai yang benci RTM--gambar atas adalah Upacara Memulakan Perkhidmatan RTM pada 28 Disember 1963--sambung... ramai yang meluat dengan Utusan Malaysia, dan Berita Harian--lay out yang kaku, foto yang tidak berkualiti, jauh lagi untuk memahami fotojurnalisme, berita yang bertujuan 'politik dalaman', yang terumus sebagai "banality of media." Sama sekali tidak faham dan menghargai kebebasan media. Akhbar Inggeris, ramai yang tak suka The Star, The Sun, New Strait Time; ramai juga yang tidak boleh membacanya--tidak hairan kerana ini bukan negeri orang puteh. Tetapi Surat Khabar bahasa Inggeris itu mudah 'perasan'; menyangka diri lebih 'liberal' dan lebih terbuka daripada surat khbar lainnya. Menganggap diri elit. Mereka tidak sepenuhnya sedar, ada ketawa yang kuat di luar editorial room...

Selepas Reformasi 1998, akhbar arus perdana mendapat penghinaan dan kutukan paling dahsyat dalam sejarah pengsurat-khabaran tanah air. Tiada ada pernah begitu rupa hina tertimpa ke atas kerjaya kewartawanan dan jurnalis. Wartawan, jurnalis dan editor, dan juru gambar waktu itu cuma pandai menyalahkan 'orang atas', kononnya yang melarang mereka daripada tidak berlaku jujur, dan tidak menerbitkan material yang sepatutnya dan betul. Itu separuh benar, dan separuh lagi, memang para petugas di badan-badan media itu tidak ada daya hidup. Otak mereka nyaris sama korupnya dengan bapak polisi yang mengambil rasuah di tepi jalan raya.

Utusan [terus terang sahaja pernah] menjerit dan Ketua Pengarangnya, secara kental mempertahan diri dan terbelit untuk mentafsir makna "kebebasan media." New Strait Time dipimpin oleh orang tua Kok Lanas, yang seratus peratus setia kepada (bekas) Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad... dialah Tan Sri Abdullah Ahmad, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ("Mengapa ramai 'graduan politik' Kem Tahanan Kamunting menjadi lebih tidak berguna?")

Sejak itu, jualan surat khabar arus perdana turun teruk, walaupun sedikit kembali naik sejak dua-tiga tahun ini. Berita Jam Lapan, Belutin Utama ditutup dan tidak digemari peniaga warong lagi.

Ketika itulah munculnya istilah "akhbar alternatif." Beberapa keping surat khabar [tabloid] yang mengaku diri mencetak khabar berita yang lebih 'tepat', dan lebih 'betul'. Mereka mulai berbangga kerana dapat menulis secara banyak tentang Anwar Ibrahim, misalnya. Juga apabila dapat melaporkan perkembangan kes-kes mahkamah tentang siapa liwat siapa, mencetak gambar demontrasi seratus ribu rakyat di Dataran Merdeka, dan Lebuh Raya Kesas. Mereka berbangga apabila dapat mengasosiasi diri dengan "Reformasi." Akhbar arus perdana terdiam, tergamam, dungu, memang.

Hari ini, ayuh kita lihat senario hari ini--tentang surat khabar yang setaraf sebagai "aparatus" telah berani mengaku dirinya bebas. Akhbar arus perdana atau yang "alternatif" yang mendakwa diri lebih benar, adalah, perbohongan yang berpanjangan. Pembohongan kepada pembaca, dan "pembaca" adalah nama lain kepada "rakyat." Hari ini, akhbar seumpama Harakah, atau Siasah (edisi baru:tabloid), atau Suara Keadilan, sampai media cyber seperti harakahdaily.com (nama hampir sama dengan sebuah surat khabar bercetak--kenapa?), malaysiakini.com, kakiseni.com dan beberapa lagi yang tidak layak lagi ditulis di sini, masih tidak lepas daripada tembok kekuasaan yang cetek. "Kuasa dalam kuasa."

Apakah yang reformasi?

Tidak ada. Sekalipun beberapa surat khabar memasukkan halaman "seni-budaya," dan halaman-halaman yang lain, yang kononnya tidak bersifat "politik," tetapi benar fahamkah sang ketua pengarang atau editor... sampailah kepada wartawan atau jurnalis yang menulis atau membuat interview? Persoalan yang dibawa dalam halaman yang bukan politik, adalah tidak lebih satu strategi untuk menunggangi bidang lain agar menolak naik sokongan rakyat kepada mereka, untuk, yang entah untuk apa selain daripada memacak 'ideologi', kerana, 'ideologi' adalah perisau daripada apa juga dosa dan kerendahan moral sosial. Memang benar enam-tujuh tahun dahulu adalah "jaman marah." Seperti lelucon seorang mantan editor Berita Keadilan.

Hari ini, hampir semua surat khabar kecil menampal halaman seni-budaya--'gaya baru' kepada surat khabar kepolitikan. Aku ini masih ragu, kerana yang aku lihat, yang aku baca, tidak lebih hanya "mahu menjadikan genre seni-budaya itu basah di bawah percikan air liur politikus. "Betapa korupnya orang-orang politik itu, sehingga Mawi mahu mereka 'tawan'--bagian strategi yang bertujuan untuk 'membimbing' Mawi agar memenuhi syarat sebagai seorang penyanyi "Melayu" dan "Islam." "Melayu dan Islam" yang ditafsiran secara kuno, kitab kuning dan fuedal, dan ketat (fundamentalis) sempit parti politik mana pun.

Reformasi sembilan delapan rupa-rupanya tidak mengubah banyak hal di pentas media. Reformasi tidak menjadikan surat khabar dan media di negara ini rasa rendah diri dan mahu merenung--hanya terus patuh dan setia dan menyembah "Menteri Penerangan," yang bertindak sebagai "ketua perangan." Atau sebaliknya. Dalam tafsir ini, Reformasi rupa-rupanya lebih berminat untuk mendapat kuasa, bukan mengubah dan menganjak zaman. Sungguh pun pernah surat-surat khabar itu bercakap tentang penganiayaan terhadap Anwar Ibrahim, dan beberapa nama lain yang terseret dalam konspirasi politik, namun itu tidak lebih hanya sebuah kesempatan demi kuasa. Kuasa yang entah untuk apa [?]. Inilah, "reformasi" yang dicengkam oleh kaum yang gelojoh dengan kuasa, ejakulasi cepat dan menganggap kerana kuasa, diri dihormati--satu 'ideologi politik umum' yang sama dengan period sebelum 1998.

Setiap jam lima, akan ada lori yang bawa sampah. Apa yang dipapar dan dicetak... sampah. Dulu aku benci RTM, sekarang ramai yang benci hampir semua surat khabar dan yang dalam peti televisyen itu. Bungkus. Tutup.