Psikologi kasut Bata
MASA di sekolah rendah, dan sekolah menengah, aku dan kawan-kawan sekelas adalah jaguh sukan—kerana di sekolah, kalau tidak begitu, maka, kami akan dianggap sebagai tidak cukup cerdas. Dan “cerdas,” secara tidak sedar juga dikaitkan dengan akal yang “cerdik.” Aku jaguh seratus meter, dan jaga gawang sekolah dalam sepak bola. Kami menjadi semakin ‘kuat’--tiap hari bila balek sekolah, kami menuju salir air, yang dikampung aku dipanggil “parit.” Siap, akan berkelodaklah air parit apabila kami tiba, lima-enam orang. Ada waktunya sampai lima belas orang.
Aku darjah lima—cukup pantang kalau dicabar lawan bola. Dengan budak-budak darjah enam sekalipun. Dengan “budak bujang’ kampong sekalipun, yang, sebenarnya tidak sekuat mana, kerana tiap kami bertanding, tiap kali itu kami mereka buli. Permainan mereka cukup ganas—dan bukankah itu gaya tipikal ‘orang dewasa’, termasuk dalam urusan apa pun: di pejabat, di warong, di dalam kuliah, dalam parti politik, dan dalam berebut-rebut ‘tempat’ yang lebih tinggi.
Waktu itu, mainan jahat untuk menekan ‘psikologi’ tidak siapa yang tahu, tidak siapa yang dapat mengungkapnya, dan ‘orang besar’ tidak akan berani memberitahu. "Bacul" adalah sebaik-baik perkataan kepada, termasuk budayawan, intelektual, agamawan sampailah orang politik yang sama taraf pemikirannya, dan kesedarannya dengan ‘budak-budak besar’ di kampong aku yang cuma mencabar, tetapi memakai ‘kekuatan lain’, termasuk tipu daya, untuk mencapai Menang.
Bila di sekolah menengah—hanya ada satu sekolah menengah di dekat kampong aku—kami boleh dikatakan hampir sekampung masuk sekolah yang sama. Dan kami pun berpindah padang; dengan padang kali ini adalah padang yang lebih besar. Kami masih jaguh seratus meter, dan kalau masih diregukan dengan kawan-kawan sekampung, kami tidak ada tandingnya. Kalau bola sepak, kami sedia, bila-bila masa.
Ubi, bakau, belukar, kaca, duri, bisa lipan, ular, kerikil batu… itu semua mainan aku sejak kecil. Bahkan, pada dahiku pernah berjahit lima jahit kerana dihentam longkang batu. Kawan-kawan yang sebaya aku juga bukan main-main beraninya, bukan main-main tekalnya.
"Logik" dan "rasional"—ada yang telah memukau. Ada yang mula mengalahkan kami secara diam-diam, dan tidak kami tentang; barangkali kerana bingung, keliru dan tidak ada sesiapa yang mahu bercakap mengenainya. Tapi kali ini, aku ceritakan, apakah yang sesungguhnya yang pernah ‘menumpaskan’ kami.
Aku ingat, dalam acara empat kali empat ratus meter, aku wakil sekolah. Lawan ku daripada sekolah-sekolah lain. Dan salah satu sekolah itu, ialah sekolah di pekan. Yang lainya, sekolah kampong… sama sahaja. Aku pelari mula. Tiga lagi kawanku sudah menunggu di setiap tiga penjuru.
Di garis mula, di padang yang dicat dengan minyak hitam, aku lihat, pesaingku seorang bangsa cina, budak pekan. Pakaiannya nampak lebih kemas, nampak benar sepertinya dia seorang atlit. Atau pernah mewakili acara sukan yang lebih tinggi daripada hanya wakil sekolah. Ya, aku darjah lima masa itu. Di kakinya tersarung kasut jenama, ya Bata! Siap stoken, putih. Aku kaki ayam. Yang lain-lain juga berkaki ayam.
Nah, aku gementar kali ini, aku biasa bersaing dengan yang tidak berkasut. Yang aku terfikir sekejap itu, hanya sedetik sebelum bermula, “apakah kasut Bata itu pasti membuatnya berlari lebih laju?” Mungkin boleh, dan petang itu, aku, dan team lariku, tidak menang. Cikgu memujuk, tetapi cikgu tidak pernah memberitahu sesuatu yang lebih benar, atau riil dalam hidup ini.
Dalam sedar tak sedar, aku mula menentang ‘pengelat’. Aku sedar sendiri, tetapi tidak sepenuhnya cukup yakin, bahawa, pesaingku bukanlah benar-benar kuat. Kami tidak menemukan "kesedaran," tidak menemukan "kata-kata" untuk mengungkapkan kebencian dan perasaan waktu itu. “Kau tunggu aku darjah enam nanti… kita lawan balek,” bisik hatiku apabila dalam kereta cikgu. Tidak siapa yang mendengar. Hanya itu yang termampu.
Ini cerita, adalah cerita ‘psikologi kasut Bata’. Bila ke kota, aku belajar, aku lihat juga bagaimana cara yang sama cuba dimainkan. Mungkin mereka tidak sepenuhnya berniat begitu, tetapi ada juga yang cuba untuk berniat begitu—cuba untuk menakut-nakutkan.
Semua make-up mereka sarungi. Dari ‘bahasa’ sampai yang materi. Dari kereta, perkahwinan dengan anak si folan bte/bin si folan yang pernah mempunyai kedudukan dalam gomen, atau pernah menulis satu-dua rencana di dalam Dewan Masyarakat, misalnya. Ada lagi, yang kononnya pernah pergi demontrasi pada 20 September 1998, atau yang pakai kad kredit, atau telefon bimbit yang harganya atas dua-tiga ribu…
Hari ini, di Jalan Telawi, atau di dalam kancah politik (dengan ‘P’ capital), penuh sekali dengan permainan jenis ini. Orang yang sanggup buat apa sahaja—misalnya berada dalam kelompok elit, untuk menjadi elit. Menjadi elit salah? Tidak! Tetapi jalan menjadi elit, jalan meningkatkan darjat diri, jalan menjadi terhormat, bukan hanya semata-mata dengan cara menyusun ‘strategis’. Harus ada yang ‘sesungguhnya’, harus terisi yang riil, dan harus benar-benar mampu berlari kencang. Bukan kentang! Untuk Menang, mengapa perlu menekan yang lain? (Dalam konteks politik, samalah dengan pemain yang sanggup gadai idealis, dan politik semata-mata game politik). Dan 'tekanan' yang paling sial ialah si penekan itu tidak sedar yang dia sedang penekan. Seperti kata orang, "orang bodoh tidak pernah tahu dia bodoh," dan aku sambung, "dia juga tidak mungkin tahu kalau dia telah berbuat durjana!"
Patutkah aku tidak memandang perkara ini, dan menganggapnya tidak releven, lalu menyisihkan begitu sahaja?
Ada ketikanya kita berfikir balek. Budak-budak kampong yang mandi parit, kalaulah kami dapat bertemu kembali, ya, biar kali ini kami bermain dengan sesungguh-sungguhnya. Maknanya: Team yang kongsi idealisme sangat penting. Bukan yang ‘main-main’. Tahun lepas, ya, tahun lepas kami kalah. Sekali itu, cukuplah. Tetapi apabila kami tahu 'tipu daya kasut Bata', sekalipun tahun ini ada yang cuba memakai Adidas, Nike, atau Balley, dari Singapore sampai London, UIA atau Oxford; datang tetap kami datang. Sudah cukup duri, pedih kaca, bisa kayu dan sengat lipan--sudah cukup cabar-balar pada badan... Awas kalau tidak "Riil," kerana sebelum kami masuk padang, di bawah pokok sambil merokok, ketawa.