Tuesday, July 26, 2005

Lawan

[Teringat sajak Chairil Anwar bertajuk "aku"]

Mana api yang besar;
Aku tak bermain dengan sebatang anak mancis
Sama sekali tidak hanya seunggunan peron
itu hanya asapnya, aku mahu apinya...

Mana nyala yang marak;
Ini jaman, ayuh bermain dengan api besar
Kerna yang di luar, tidak senyala
Tak juga sepanas
Api dalam diri...

Rela aku terbakar biarpun seribu tahun lagi!

Monday, July 11, 2005

Bayang-bayang api lilin

(Lakaran fragmentasi daripada sebuah fiksi yang bakal terbit dalam jalantelawi.com)

ADA cerita dari dinding papan tentang putera yang malang—lahir dan bercakap di hadapan dada yang penuh pengkagum, yang, tak habis-habis dengan sumpah… suara yang tajam. Dan dia, jarang diam.

***

Dirancang kala subuh sekejap nanti, dengan kuda dan askar pejalan kaki; bala tentara itu akan menyerang ke arah selatan lepas lembah pembukitan. Lalu, “ayuh kita bicara dahulu!” fikirnya begitu. Yang lain tersenyum. Atau pura-pura. Hati mereka sebenarnya setengah takut, setengah kaku. Tapi itu semua disimpan, jauh-jauh, apabila dibayangkan tentang ajal--seramai mana tentara yang akan terkorban esok, sebanyak itu jua malaikat yang menarik nyawa. Sejak kelmarin, sejak menerima perintah bertempur ke medan, tidak siapa pun punya fikiran yang tenang. Semakin mendekat suboh, nampak benar pada bibir mereka yang kering dan sejuk kuku.

“Kalau ada yang mati, ada apa kepada nama wahai bayang-bayang?”
“Seperti dahulu pun mahunya aku berikan yang baik ke atas diri mu.”
“Lalu, kekalkah itu?”
“Kalau perkasanya tiap mereka dalam perang nanti…nama-nama yang harum.”

Aku tidak sepenuhnya berselimut. Kaki telanjang sampai sejengkal lebih atas lutut. Ku kesat mata, pada hujung selimut yang terpuntalkan jadi seperti tali tongkang. Dan di luar gelap. Nanti, subuh nanti; sebelum naik matahari...

"Api, bintang-bintang terang. Ada tiga jumlahnya yang nampak paling dekat," atau sebenarnya yang hanya sempat aku intai di antara celah ruang dinding papan dengan alang-alang.


Dan angin bukit turun seperti deru malaikat persis tentara rahsia Tuhan. Senyap. Menyerap, dan sejuk amat. Dan ombak laut yang terdengar tak ubah seperti singa yang mengaum, walau pun laut bukanlah dekat.

“Lalu, teruskanlah nasib tadi--silalah kau, api, letakkan gambaran pada bayang-bayang…”

Api di hujung sumbu mengerlip-ngerlip. Aku terdengar dia ketawa. Dan aku renungnya tegak agar dia tidak menangguh-nangguh cerita. Juga agar dia tidak mempersenda kalau aku benar-benar hendak tahu.

“Tentang putera dan pasukan perang?”
Aku angguk cepat-cepat, dan balik memandang ke arah bayang-bayang di atas dinding papan.

Ada yang berehat. Ada yang menyiat-nyiat buku roti—sedang dibayangkan juga kulit musuh yang nanti terbit luka dan tetes darah. Anak-anak panah bagi setiap busur jumlahnya tak kurang seratus bilah. Sekurang-kurangnya ada seribu parajurit yang berbusur tali tembaga—untuk berdepan pasukan musuh yang besar juga angkatan perangnya.

Lelaki bibir tebal dengan baju besi pada kiri-kanan teteknya itu punya cukup pengalaman dalam puluhan peperangan. Umurnya tiga puluh empat tahun lebih tua daripada putera. Dia punya anak daripada seorang perempuan lacur yang tidak dinikahinya. Dan, selalu dalam tiap pertempuran, sangat dia ambil berat ke atas putera, walaupun itu jelas bukan darah dagingnya. Antara mereka berdua, jarang bercakap. Mereka seperti punya bahasa yang lain, dan saling faham walaupun tanpa suara.

Kepada parajurit lain, lewat hari sebegini mereka ketawa apabila datang ingatan dalam perang-perang yang sudah-sudah. Hari-hari lepas, banyak merekalah yang menang. Demi tuanku dan kerajaan kota yang kepada dewa-dewa doa dan cinta akhir mereka sering berikan.

“Itu cerita daripada putera?”
“Bukan, daripada seorang yang paling penakut, dan dia sebenarnya tidak berada di tengah-tengah medan sehinggalah dia lihat, musuh sudah tiada harapan lagi, baru dia datang seperti sudah membunuh seribu nyawa.”
“Dan kerana itulah dia dapat mengingati satu-persatu untuk diceritakan balik, bukan?”

Api menari. Dia ketawa terbahak-bahak, sehingga nyaris tercabut dari hujung sumbu.


“Putera mana?”

“Ada. Bersama kumpulan itu juga, cuma fikirannya bukan di situ. Dia terlindung akan wajahnya oleh kain khemah merah, pekat. Dengan ini, sang putera sesungguhnya tahu, bahawa subuh ini adalah perang akhir baginya. Dia akan mati,” bisik yang sangat berahasia.

Aku yang diam jadi tergamam. Bahu ku naik panas, sedikit aku kesotkan dan terjojol keluar daripada seluruh kain yang menyarung bulat tubuh, sebelumnya.

“Putera akan mati dalam perang subuh nanti?”
“Ya,” angguk-angguk api lilin.
“Apa yang tinggal, dan bala tentaranya?”
“Yang tinggal malam ini sahaja. Malam akhir baginya.”
“Tapi tidak akan habis di sana, kan?”

Senyap. Nyala yang tiada bergoyang sekelumit pun. Tegak berdiri dan tidak begitu terang cahya, muram, tunduk dia.

“Tolonglah. Katakanlah akan sesuatu, yang, kalau pun tidak sepenuhnya menyenangkan hati ku. Katakanlah wahai api lilin,” rayu dan gelisah jua aku.

Api masih tidak menguit. Tetap senyap… Aku memandang ke atas bayang-bayang pada dinding. Aku menandang segera ke wajah putera. Dia mengintai separas kening biji matanya kepada parajurit-parajurit lain yang asyik berbual berselang ketawa. Jarinya menuliskan namanya di pasir tanah...

Sunday, July 10, 2005

'Badman'

“Kau, tiba-tiba lebih tua ketimbang setahun yang lalu,
Lihat! garis-garis halus mula tumbuh di bawah mata mu, pada pipi mu,
Kau lebih tua berbanding setahun yang lalu, waktu aku mula-mula mengenali mu…” ujarnya dalam bahasa Inggeris.

Aku tidak menjawab.

Sewaktu aku mula bertatih menulis, umurku 23. Ya, memang aku sudah menulis jauh lebih muda daripada itu, tetapi, tidak pernah terbit di mana-mana pun.

Hari ini, beberapa bulan lagi, aku mendekat tiga puluh. Hampir tujuh tahun, dan sepanjang tempoh itu, ‘merenung’ [sesekali] cukup melelahkan. Sedetik kemudian, kalau tidak merenung, aku menjadi sangat bosan kepada diri sendiri.

Maka, secara tidak sedar, dan tidak sesiapa yang memberitahu, sejak dekat tujuh tahun lalu, aku terpelanting keluar daripada realiti, atau apa yang diujarkan oleh orang lain sebagai ‘lingkungan’. Berada di dalam ‘lingkungan’, dalam kata lain, samalah dengan berada dalam arus, alias tidak berfikir. Tetapi sesungguhnya, apa yang difikirkan oleh orang yang mendakwa mereka berfikir?

Aku kira, daripada Batman—watak ulter-ego, dan superhero dalam komik—barangkali bisa sahaja memberikan jawapan. Dia seorang Yahudi; begitu seperti yang aku baca. Batman, pada awalnya digambarkan sebagai seorang gay. Demikian, dari masa ke semasa, watak itu bertukar-tukar dan bebas diwarnakan oleh tiap penulis dan pelukisnya. Daripada Amerika sampai Hong Kong.

Hidupnya hanya waktu malam. Dia, dalam sebuah siri, membesar dengan penuh dendam. Bapanya mati di hadapan mata, dalam satu pembunuhan. Dia membesar memang dengan niat untuk membalas dendam atas si pembunuh, yang hanya dihukum 10 tahun penjara. Di kota itu, hukuman boleh dijual-beli. Batman, Robin, sejak lebih 60 tahun lalu menjadi lambang betapa kekal menjadi manusia adalah dengan membunuh yang jahat. Itu pandangan gampang, barangkali.

“Kau telah tiba-tiba jauh lebih tua…” sekali lagi kata-kata yang datang. Aku tidak mahu menafikan, lebih-lebih lagi apabila di cermin aku lihat, memang ada garis tipis tumbuh di bawah mata, di dekat pipi. Garis itu semakin jelas apabila malam hampir datang… setahun lalu, malah lebih enam tahun dulu, tempat aku tinggal ini masih gotik, kelam, gelap. Sekurang-kurangnya itulah bisik yang sukar terbuang.

Sunday, July 03, 2005

The Big [Durian] Sponsor?

"Dia (Anwar Ibrahim) senantiasa mendakwa banyak membaca... aku tak fikir sebanyak mana yang dia baca seperti yang didakwanya. Arakian, dia banyak menulis perkara yang muluk-muluk dan tidak sekalipun diterjemahkannya dalam kerjabuat."
--Amir Muhammad (sembang dalam The Sun: Sabtu, 2 Jun 2005)

SELAIN baca, ada keperluan lain daripada buku, iaitu merenung. Begitulah kepada ranting-ranting intelek yang lain; tengok teater, filem, dan kalau pun duduk kedai kopi, bukan sembang-sembang sembarangan. Pemikiran, sebagai teras 'perlawanan', tidak bermula dengan, misalnya, tarik ganja. Sekalipun itu boleh 'menciptakan' keberangan untuk jadi unsur menentang, tetapi sampai satu detik, cuma tertidur.

Di Tanah Melayu, perlawanan tidak pernah berpunca daripada kaum yang menulis--dan itu tentulah kesan kerana tidak wujud secara lebar kaum yang membaca. Tetapi, yang lebih sial lagi ialah, tidak wujud kaum penulis yang dapat menciptakan perlawanan, secara berterusan macam air parit musim tengkujuh. Perlawanan di Malaysia, selalu tersumbat--kalau mengambil daripada sudut tanggungjawab dunia tulis-menulis, tentulah kerana kaum penulis yang lebih awal tersumbat, tersekat, benak. Mereka dengan faham lama yang ketat, tidak pernah mampu memukau massa, dan tidak lebih hanya untuk 'menjadi lain'.

Tidak kepada, misalnya, bangsa Indonesia. Mereka boleh berbangga dengan kaum penulis yang panjang hayat pandangan dan idea. Bahkan, bangsa Indonesia selalu menerima tunjuk jalan politik-negara daripada orang yang membaca banyak, dan penulis. Muhammad Hatta [gambar sebelah] sebagai misal bukan politisi yang malas atau lengah membaca. Dia punya himpunan buku yang besar, sekalipun dia tidak segemilang Seokarno atau Dr Mahathir yang menjadi orang nombor satu. Satu lagi, aku teringatkan Soe Hok Gie.

Budak Cina itu jadi perenung yang dapat iman yang kuat, atau dalam kata lain, dia dapat mendarahdagingkan pandangan yang muluk-muluk kepada kerjabuat. Ini bukan hanya karana dia banyak baca, dan hanya menulis (mahupun bikin film, misalnya) tetapi juga kerana dia telah merenung jauh.

"Soek Gie," begitu kependekan namanya aku panggil, mati jauh lebih muda berbanding Anwar (juga Amir), iaitu pada umurnya dua-sembilan kurang sehari. Dairinya dibuat buku 15 tahun lalu, dengan tajuk Catatan Seorang Pendemonstran. Laku banyak sampai sekarang.

Di hujung Tanah Jawa, dia telah bersatu dengan kumpulan manusia demi menjadi sebuah bangsa. Dia bukan Melayu, bukan Jawa, tetapi dia tahu, ramai petani di bawah yang perlu difahami akan cakap-cakap mereka, sekalipun bicara pada lidah petani itu bukan daripada bentara bahasa leluhur keluarganya. Dia jernih, tidak semborono, bezanya.

Barangakali seperti Jawa yang lain--yang tidak menjadikan bahasa nenek-moyang sebagai Bahasa Negara--Soek Gie barangkali tahu bagaimana untuk bersedara. Sajak "Pesan" adalah apa yang dia tulis sendiri;

Hari ini aku lihat kembali
Wajah-wajah halus yang keras
Yang berbicara tentang kemerdekaaan
Dan demokrasi
Dan bercita-cita
Menggulingkan tiran

Aku mengenali mereka
yang tanpa tentara
mau berperang melawan diktator
dan yang tanpa uang
mau memberantas korupsi

Kawan-kawan Kuberikan padamu cintaku
Dan maukah kau berjabat tangan
Selalu dalam hidup ini?

Dalam sembang yang sama, tapi di dekat line lain, Amir cakap, "while he (Anwar) was in government itself, he was the big sponsor for dubious things like Bahasa Baku."
Di atas puncak Sangrango, kala pagi di mana ada kematian, bertebarlah akan debu gunung berapi seperti menutup roh yang ditarik balik. Puncak Jawa saksi untuk sebuah rasa bersedara.