Soalan [mungkin] kepada Freud
[Tapi Tuan, pernah di satu petang yang mendekat senja, aku bermimpi. Mimpi itu simple~hanya imejan serangkai nombor satu-dua-tiga-empat. Empat angka yang tidak pernah aku lihat di mana pun. Esok hari, di surat khabar pagi, aku lihat, susunan angka itu muncul sebagai keputusan ramalan nombor ekor]
Maksudnya, tidak mungkinkah mimpi juga bagian daripada 'alam lain', alias, 'metafizik'? Kalau aku sempat membeli set nombor itu satu ringgit~kedai taruhan nombor ekor tutup jam tujuh petang~aku sudah menang wang tunai dua ribu lima ratus. Kalau aku membeli sepuluh ringgit, wang hadiah berjumlah dua puluh lima ribu! Kerana aku 'beriman' kepada teori mimpi dalam ajaran psykoanalisis Tuan, betapa mimpi bukan daripada 'alam lain', maka, aku 'kalah' sebelum sempat bertaruh. Tapi, perlukah kekecewaan?
Itu cakap-cakap semalam...
Kecuali mimpi ini~kala aku terlelap sejam setengah malam Isnin lepas, lepas Maghrib. Dia muncul ke aras tertinggi sebuah bangunan. Dia datang daripada lif berdinding kaca, dengan tersenyum, dengan mengenakan jeans dan bajunya warna bumi, pudar, dalam. Itulah 'warna dirinya', sejak dahulu. Sumpah! Aku kenal betul~kalau hari ini dia menyarung baju yang cerah, warna hijau pokok pisang, misalnya, itu bukan lagi 'dia yang dahulu'.
Lagi, dia datang bersama seorang teman [juga perempuan] yang tidak pernah aku temui di mana pun sebelum ini~teman itu juga sebenarnya pembantu rumah; ya, aku tahu, walau tidak siapa yang pernah membisikkan hal itu.
Di sana, di aras tertinggi bangunan [mungkin juga hotel?], sebuah suasana pesta yang meriah. Tersusun hidangan yang sedap-sedap, ayam dan kambing golek yang disapu minyak zaitun, potongan daun ganja dan perahan limau yang harum, dan buah-buah dan arak pekat yang belum tersentuh.
Ketika dia keluar daripada lif berdinding kaca, aku cepat meneriak-meneriak-meneriak kuat sekali; walau cuma dalam hati. Apabila kami berselisih, tangannya aku tarik, aku tarik ke sudut gelap penjuru bangunan, mengadap ke langit lapang, gelap, ke ruang bicara yang sunyi. Di situ 'berurusanlah' akan aku dan dia kepada perkara-perkara yang rumit dan 'mendalam' daripada hanya urusan makan-minum atau mabuk-mabukan. Pesta-pestaan.
Seperti angin bukit yang turun. Rambutnya pun mengepak, membentuk sayap. Pada aras ketinggian, pada dada langit lapang, dia seperti akan terbang.
Tuan Freud,
Perlukah realiti hidup kita kepada mimpi, kalau pun yang cukup menyenangkan~kerana dalam hidup yang kita jalani tiap hari, dari celek mata sampai sesaat sebelum tidur, keadaannya sama sekali tidak semestinya serupa seperti dalam mimpi? Lalu, di manakah teori mu Tuan, akan yang tersendat dalam akal?
Tuan Freud, lebih seabad sejak Tuan berkhutbah tentang mimpi, Tuhan masih juga diam... atau aku, atau sesiapa pun tidak sepatutnya bertanya tentang 'rahasia' ini lagi.
Aku pernah bingit dengan laung Friedrich Nietzsche [foto kanan] pada penghujung abad 19, "Tuhan telah mati!" Lalu mimpi jadah apa kalau Tuhan telah benar-benar mati, encik Nietzsche!? Kepada siapa yang perlu dipersoalkan dalam urusan yang sulit lagi 'peribadi'? Ah, mustahil tiap orang tidak ada rahasia langsung kepada dirinya.
Inilah yang pertama ingin aku tanyakan kepada Tuan Frued... kerana sepanjang malam itu, dia memeluk bahuku, dan aku memeluk pinggangnya. Kami erat. Kaseh. Kami menari sampai pagi.
"Nietzsche, agaknya tadi encik begitu kembong arak?" pernah aku cuba menegur. Biji matanya merah saga tegak ke satu sudut, ke arah butang-butang nombor lif berdinding kaca~dia kental menunggu seseorang agar datang dan mendengar kata-kata yang tak pernah ada habis-habisnya...
Dan dalam samar di satu sudut angin mati~aku menoleh Tuan yang masih berdiri dengan diam, dengan sabar.
"Mengapa Tuan Freud terus memandang kita," begitu dia berbisik ke telingaku dalam tari kami, yang, tanpa sebarang senandung lagu.
[bersambung...]