Thursday, June 15, 2006

Lembeng Awang

{ Orasi Jumaat Malam }

KAWAN-kawan sekampong dan kekasehku,

Salam,

LEBIH tiga belas tahun dulu, saya tinggalkan halaman ini. Masa itu; pekan-pekan seperti warna kuning senja dan sepia, dan hidup tidak diatur siapa pun. Tidak punya rasa takut kepada kekuasaan, melainkan rasa hormat kepada 'tradisi'. Aturan yang ada adalah "aturan yang natural," yang biasa-biasa sahaja; terbangun kerana kita hidup di dalamnya. Tentang balai raya, bangunan dan sekolah kayu dengan kawat mata punai; basah bila hujan; belum tiga tingkat seperti sekarang, dan bersukan petang-petang; main bola sepak, takraw, main galah panjang; yasin Jumaat malam, sabung ayam, baja sawit… saya ingat halaman kampung dengan semua itu. Tiga belas tahun dulu, dan lapan tahun Reformasi tercetus, saya balek ~ kalau “balek” adalah yang dituntut namanya.

Seseorang pernah berkata bahawa saya melupakan pekan Semerah, atau, Bas Station Batu Pahat, panggung wayang, sate tepi sungai, buah berangan depan supermarket ~ katanya saya sudah lupa itu semua. Dalam kata lain, dia menganggap saya melupakan asal diri, dan, barangkali melupakannya juga. Dia belajar di Universiti Malaya ~ masih selalu hendak balek, walau pun bukan waktu cuti. Saya tidak. Barangkali setahun payah sekali…

Nah, malam ini saya berdiri di sini kembali. Siapa sangka? Ikhtiar saya; mengumpul saudara-mara, kawan-kawan. Orang kenal saya; saudara semua tahu rumah saya; rumah pangkal kampong, dan siapa datuk-nenek mahupun darah keturunan saya... Dan, dalam apa juga keadaan, saya bangga dapat berdiri di hadapan ribuan manusia yang datang untuk mendengar. Saya ucap, terima kaseh. Saya terharu.

***
Sejarah adalah sejarah, tuan-tuan. Masa lepas, yang ada di dalam “ingatan,” atau orang di Jalan Telawi, Kuala Lumpur menyebutnya sebagai “romantisme,” barangkali. Kata itu pun selalu terkait maknanya sebagai “melankolik.” Memang, romantis boleh jatoh jadi melankoli; seperti banyak lagu-lagu Melayu klasik;

Tanjong Katon, airnya biru
Tempat mandi ‘nak dara jelita
Sama sa-kampong hai sedang di-rindu
Ini-kan lagi, hai jauh di mata
Tanjong Katon, airnya biru…

Saya mengingati lagu itu oleh emak yang selalu menyanyi. Di dapur. Kadang waktu dia melipat kain, dan di depan pintu rumah dengan angin jauh masok jadi kawan, lepas Asar. Di sana, ada seperti yang saya sebutkan tadi, “melankoli,” dan mungkin sahaja “romantisme.”

Teman-teman dan kekasehku ~ sungguh betolkah kita sepenohnya berpisah? Dengan “saya” yang “meninggalkan” dan “yang ditinggalkan”?

Cerita yang saya tahu ialah kisah “lembeng Awang pulang ke Dayang.” Atok perempuan ceritakan cerita ini satu masa dulu. Ia kisah seorang budak bujang; namanya Awang. Bertunang dia dengan gadis paling cantik dalam kampong; Dayang. Menjadi syarat atas tradisi Melayu, kata atok, untuk anak bujang keluar kampong. Merantau. Timba ilmu. Cari rezeki, dan nanti balek semula ke kampong, dan berumah-tangga dia. Awang keluar kampong selepas dia bertunang dengan Dayang. Betapa keduanya tentu berindu-dendam…

Seri Menanti kampung di hulu,
Hendak ku cari kain pelekat;
Takut nanti menanggung rindu,
Bulan yang jauh ku rasa dekat.

Awang memang balek, akhirnya. Dia tetap balek. Karena itu janji. Kalau lewat ~ lepas tarikh sampai, tapi bukan lewat, lewat sangat. Agaknya seminggu. Agaknya sebulan. Dayang gelisah. Menanti bulan jatuh ke riba. Dan, satu keputusan berat diambil keluarga, ditunangkan dan dikahwinkan dengan orang lain. Entah tua, entah muda, tak disebut. Takut Dayang lepas umur; seperti buah terlajak hari. Manis hilang, rupa pun tidak berseri lagi. Lalu, Dayang pun naik pelamin, entah rela, entah tidak, dia.

Saya tidak faham semua itu sebagai sebuah “bayangan,” karena masih terlalu mentah, waktu tujuh-lapan tahun umur saya masa atuk bercerita.

Hari Awang balek, sama dengan hari kerja di rumah Dayang. Awang yang turun dari pengkalan, terus bertanya, “mana tunangan aku? Mana Dayang?” Kalau saya di sana, saya sendiri belum tentu kuat menjawabnya. Tapi, ada yang berkata, “Dayang, dia di rumahnya. Hari ini ; hari nikahnya…”

Awang menggeletar badan, dada bak disambar petir... terbakar. Peloh titis dari dahi, dan kuyup badan, dan dia yang senyum di kapal, tadi, kini berkurang wajahnya. Awang benar-benar marah.

“Ini lembeng,” katanya, “antara tanda janji keluarga aku dengan keluarga Dayang. Ini lembeng; lembeng Dayang,” kata Awang. “Kalau kata tidak dikota; membujur lalu melintang patah!”

Tuan, tak siapa dapat menahan dia. Dengan lembeng di tangan, dia berlari sehabis tenaga ke rumah Dayang; mempelai di pelamin, tetamu penuh di tanah, daging seekor lembu masih ada yang belum bertanak lauk, orang di dapur masih sibuk. Awang ~ dia datang dengan 'dendam', atau barangkali dia juga merasakan maruahnya dicemar. Saya hanya membayangkan tentang apa kata hatinya, sewaktu Awang melangkah, berjalan-berlari-berjalan, ke rumah Dayang.

Agaknya kata Awang begini, “Aku carikan kau emas-perak; Aku buatkan kau masa depan; kalau balas dengan contengkan arang… Kekaseh, ini aku; aku Awang, datang!”

Di hujung tanah, di depan rumah yang riuh oleh kenduri dengan ghazal, Awang segera melontar lembengnya. Nama Dayang dia jeritkan sekuat-kuat batin. Menurut kisahnya, sembilan puloh sembilan nyawa orang kampung mati dimakan sekali terbang lembeng Awang. Lembeng itu berhikmat, sekali lepas, demi sumpah dan janji, akan terus melayang, menusuk, membunuh, menusuk, membunuh tak habisnya sampailah kembali kepada Tuan Ampunya. Lembeng seperti melutut-sembah; sampai ke riba Dayang, tanpa melukakan secalit pun. Pengantin lelaki; suami Dayang ‘yang lain’ itu juga sudah berlumur darah. Dia kemudiannya mati. Emak-abah Dayang turut terkorban. Ya, sembilan puloh sembilan nyawa melayang. Awang ; sebaik sahaja lembeng itu dia lepaskan, dia balek ke pengkalan. Tidak menoleh ke belakang lagi ~ suasana yang dalam. Tapi, apa lagi bisiknya? Yang aku sangkakan dia akan hanya berkata akan sayangnya, barangkali juga rindunya, kepada Dayang.

Teman-teman sekampong dan kekasehku,

Aku ceritakan semua ini kembali, selepas tiga belas tahun, kata orang, aku tinggalkan kampong. Kuala Lumpur, di zaman ini, barangkali tidaklah sejauh pengembaraan dan kepergian Awang dengan tongkang dan kapal ke serata pulau dan pelabuhan. Dan, bayangan atuk, bukan hanya kepada sebuah hikayat sahaja. Sudah bermain di kepalaku, akan setiap yang ada dalam cerita itu sebagai “bayangan,” dan kata “bayangan” kepada kawan-kawan di Jalan Telawi, barangkali disebut sebagai “simbolisme.” Bayangan: simbolisme ~ kita yang berdiri di hadapan masa lalu sesungguhnya tidak berdiri di hadapan masa lalu itu. Kita hanya berdiri, dan barangakali coba merenungi tanda-tanda dan segala bayangan yang mungkin boleh jadi petunjukan perjalanan tiap-tiap di antara kita hari ini, dari waktu ke waktu.

Aku tidak datang sebagai Awang sepenohnya. Barangkali kita masih percaya bahawa setiap kerja politik adalah perjuangan. Tetapi ia juga sesungguhnya adalah “maruah.” Dan, saya tidak menafikan bahawa begitulah asas makna dan kaitan paling dekat bagi keduanya itu; bagi politik-dengan-perjuangan.

Di sini, kita selalu bangga dan berbesar hati dengan nama Dato’ Onn Jaafar [allahyarham], atau Panglima Salleh yang kita kenal sebagai “Panglima Salleh selempang merah.” Barangkali juga Mat Indera ~ pejuangan melawan penjajah British; masuk hutan; kemudiannya mendapat bekalan senjata daripada Komunis, lalu, dia dituduh komunis. Kita juga tahu bagaimana ada yang sanggup membuboh buah kecubong di dalam air kopi Mat Indera di suatu malam di Seri Medan. Dia dan orang-orangnya kemabokkan. Lantaran kecubong yang hangus bersama kopi, yang diminum, membawa pengsan. Dan kala itulah datang polis British menangkap sang ‘komunis’. Dia diseksa di Balai Polis lama, Batu Pahat, beberapa ketika. Saya hanya merasakan, dia tidak kalah dalam apa juga keadaan. Dan Mat Indera kemudiannya diarah hukum gantong oleh British di negeri Perak.

Yang diberitahu kepada kita ialah, di hari Mat Indera hendak dibawa untuk digantong mati, seluruh orang-orang kampong keluar. Ke Balai Polis. Berhimpun. Beribu-ribu orang, dan kata “komunis” pun sudah tidak menjadi penting lagi ~ orang kenal, atas nama apa pun Mat Indera digelar atau dipanggil, dia tetap Muhammad Indera; lelaki yang tidak miskin; orangnya baik, lemah lembut, bahkan, dialah penghulu kepada setiap orang yang perlu dipayung dari ketakutan akan kekuasaan. Di mata masyarakat kala itu, Mat Indera adalah pahlawan. Adalah pejuang.

Karena itu, saya ingatkan agar jangan senang-senang mentafsir masa lalu; sehingga seolah-olah kita berdiri dalam masa lalu itu. Kita jangan lupa, Dato’ Onn yang selalu dibangga-banggakan oleh segelintir pemimpin Umno; nampaknya tidak lebih hanya menggunakan nama anak emas Batu Pahat ini untuk membakar sentimen di dada kita ~ di sudut lain, kata “hidup Melayu” pun jadi zikir untuk menakut-nakutkan saudara kita daripada bangsa lain. Kalau dalam kes di Batu Pahat, tentunya kepada orang Cina. Inilah cara politik paling keji, dan terhina dalam apa juga ugama dan tamadun sekalipun!

Memang Dato’ Onn pengasas Umno, tetapi kita harus ingat bahawa United Malay National Organization itu, kepada perjuangan menuntut kemerdekaan adalah “parti masyarakat.” Kala itu, anak bumi Malaysia atau warganegara dilabel dengan panggilan “orang Melayu.” Panggilan ini panggilan untuk semua. "Orang Melayu" merujuk semua “warganegara.” Oleh itu, perjuangan Dato’ Onn yang membela dan mahu mengangkat orang Melayu, sesungguhnya perjuangan untuk mengangkat seluruhnya masyarakat negara ini. Membela Warganegara.

Saya mahu sebutkan, di awal period kemerdekaan dahulu, ada debat dan pertembungan orang bijak-bijak untuk menyatakan bahawa semua orang yang lahir di Malaya adalah “orang Melayu.” Tidak kira samaada dia leluhur dan berdarah Jawa, Bugis, atau Cina, atau India… selagi lahirnya itu di bumi Malaya; dia adalah “Orang Melayu.”

Tuan-tuan jangan mudah dibakar api sentimen yang bukan-bukan, yang membuak-buak semata-mata karena nama “Melayu” itu hendak dikaitkan dengan ugama Islam. Ini samalah juga dengan kemustahilan untuk memastikan bahawa setiap bangsa Malaysia hari ini hanya menganut satu ugama sahaja. Propaganda kekuasaan sesungguhnya sudah mencecah ke matlamat yang tidak realistik dan mustahil. Tidak ada satu bangsa pun di muka dunia ini yang menganut satu ugama sahaja. Tidak ada. Oleh itu, mengapa kita mencabar lagi hukum yang begini besar; kalau bukan kata-kata itu hanya untuk memecah-belahkan masyarakat kita ~ berjabat, tapi curiga; antara Melayu-dengan-Cina, dengan-India. Akhirnya dengan sesama kaum sekalipun. Di sinilah tirani bermula...

Saya yakin, tidak dituntut Ugama untuk memaksa setiap masyarakat itu seratus peratus satu ugama ~ kesedaran palsu ini lebih kejam daripada semua ideologi ‘kesatuan’, samaada dari tangan Hitler sampailah kepada Moa Tzu Tung. Yang jauh lebih penting ialah memahami makhasyid dan inti Ugama; dengan menunjukkan yang baik, membuka kesedaran demi kesedaran, berbuat amal, tidak berlaku zalim, dan dengan cara itu, diri kita pun baik, nama ibu-bapa kita pun terjaga, nama negeri, nama bangsa, bahkan ugama juga terpelihara. Ugama adalah berasal dari Diri: bukan dari Masyarakat; apatah lagi organiasasi. Yang mengucap syahadah adalah diri...

Nescaya itu, ibu kepada semua kejahatan; kata emak kita, kata cikgu dan guru-guru kita; tidak lain tidak bukan adalah berdusta.

Saya sebutkan tadi ~ tidak menyedari maksud inti perjuangan Mat Indera, atau Panglima Salleh, bahkan tidak memahami maksud perjuangan Dato’ Onn, misalnya ~ akan menjadikan kita juga melakukan bohong, walau, tanpa kita sedar. Tetapi, sesiapa pun boleh lihat, para durjana yang bertenggek atas nama para pejuang tadi, misalnya, sesungguhkah mereka sedar akan inti masa lalu? Nampaknya, saban waktu, dengan jelas dan sengaja, mereka sasarkan masa lalu agar bersesuai dengan diri dan laku mereka hari ini. Agar, kononnya, antara Diri, yakni perakus kekuasaan itu-dengan-sejarah pejuangan masa lalu; adalah seiringan.

Saya kata tidak! Saya kata tidak karena Dato Onn tidak terlibat dengan segala bentuk korupsi mahupun merampas hak rakyat. Allahyarham tidak menjadikan perjuangan atas nama masyarakat untuk menjadi kaya-raya. Itu bukan Dato’ Onn. Itu perangai penjajah. Begitu juga dengan yang lain-lain. Mereka tidak terperangkap dalam permainan politik yang menyebabkan orang Melayu, orang India dan orang Cina menjadi hilang rasa yakin diri, dan takut. Menjadi takut kepada pemimpin tidak lain tidak bukan adalah kerja politik yang jijik. Dato’ Onn, Panglima Salleh, atau Mat Indera bukanlah anak bangsa kita yang, seperti harimau, bikin takut semua orang kepada mereka. Tetapi, pejuang-pejuang itu tetap dihormati. “Takut” dan “hormat” adalah umpama air dengan minyak tanah! Saya ulang dan tegaskan, kerja menakutkan, kerja menudukkan dan meninjak harga diri orang lain adalah kerja penjajah, dan, nampaknya, ada anak bangsa kita hari ini, tidak kurang laku mereka dengan tuan-tuan penjajah dahulu.

Demikian, yang membuboh buah kecubong juga bukan cara pejuang. Yang melempar fitnah dan gosip dan 'cakap' sembunyi tangan, bukan cara pejuang. Yang mendekatkan diri dengan nama para pejuang bangsa kita juga belum tentunya seorang pejuang…

Sebelum akhirnya, saya perlu ingatkan, sebagai anak yang pernah tertikam duri dan tajam buloh, yang penoh luka bermain tanah; semua yang di sini, jangan pula kita mudah terpanah dengan gelar-gelar orang besar, yang punya Doktor-PhD, atau pensyarah di universiti, atau Yang Berhormat, atau Intelektual, orang NGO, atau apa-apa juga. Itu bukan matlamat. Jangan terlalu rendah diri... Namun, dalam masa yang sama, bukan pula kesedaran itu bermakna untuk terus menjadikan kita yang di kampong-kampong, di pekan-pekan dan bandar kecil menjadi ‘keras’ kematu dan tidak berkembang daya akal-budi kita.

Lokaliti dan gelar bukan matlamat ~ tak penting samaada Muhammad itu “orang Mekkah” atau “orang Madinah”; Dia bawa Ugama yang membebaskan, dan menyambung risalah Nabi-nabi sebelumnya, tentang wujud Tuhan.
Tidak penting Awang itu orang Sungai Balang, orang Semerah, orang Simpang Lima, atau Peserai atau Parit Sulong, Seri Medan; orang Muar atau Batu Pahat. Tak penting apakah dia Telawi, atau apa. Satu-dua yang berkeras dengan tempat, apakah betol dia bercakap tentang idea dan ilham dan segala pura pemikiran? Walhal, yang penting adalah matlamat. Tuju. Janji. Sumpah. Ikrar. Semua itu. Sedang banyak sekali yang berdusta; seramai itulah juga "awang" yang akan gegas berlari dengan sejuta kata hatinya.

Betapa sungguh; sebatang nyawa adalah dengan masa tidak banyak mana.

Kawan-kawan sekampong dan kekasehku; senang sekali dapat berjumpa dan bercakap di sini, ini malam, di halaman kampong saya sendiri, sehingga penuh terang tanah. Alang-alang bertukang; biar sampai terbuang kayu. Dan, mana mungkin sepenohnya kita terpisah, tentunya.

Dan, tengah hari itu, Dayang menangis. Dia perempuan. Dia Menurut. Juga, dengan seluruh rasa bersalah, barangkali. Dia mungkin ada memanggil-manggil nama Awang. Dengan rasa paling dalam, di hatinya, dan, barangkali turut mahu meminta maaf, kepada yang jauh. Awang, sejak itu, tidak lagi nampak kelibat bayang. Kapal meninggalkan pelabuhan. Dan masa datang sekali ini, maka, sekali inilah, sebuah tugas yang orang panggilan “perjuangan” perlu ada di antara anak tanah ini untuk dikerjakan.

Yang saya dengar, kata pujangga; setinggi mana terbangnya bangau, hendak dicari belakang kerbau.

Sekian. Terima kaseh.

Hasmi Hashim,
16 Jun 2006 / 19 Jamadil Awal 1427
Batu Pahat, Johor.

Friday, February 17, 2006

Manusia putus Titah

{Orasi Jumaat Malam}

SALAM dan selamat petang.

Teman-teman dan kekasihku; ada serangkap puisi Horatius buat semua~

EST you should think that verse shall die,
Which sounds the silver Thames along,
Taught on the wings of truth to fly
Above the reach of vulgar song
;

Quintus Haratius Flaccus: nama timang-timangannya dalam kata Inggeris ialah “Horatius.” Pada umur lima puloh tujuh, dia meninggal delapan tahun sebelum tibanya Nabi Isa alaihi-salam.

Tersebutlah kisah tentang Horatius yang menyerah diri kepada satria dan pemimpin besar bangsa; kepada Brutus dan Cassius. Penyair ini asalnya adalah seorang soldadu Republik yang rela mati di hujung mata busur dan dia tidak asing melontarkan diri ke medan tempur. Penyerah jiwa raga kepada pemimpin, dan berani bertempur di medan perang adalah sifat laki-laki; adalah sesuatu yang dianggap suci baik kepada kita hari ini, mahupun sejak di kota Athena kuno itu lagi.

Hanya selepas pulang dari Philippi di dekat Timur Macedonia, dia memutuskan untuk jadi “tidak suci” lagi, dan, barangkali juga sudah tidak perlu makna kelelakian atas tafsir tradisi yang lelah. Horatius pulang ke Rom dengan pulang untuk sebuah pekerjaan hina, yakni, menulis surat-surat cerca. Horatius dalam sejarahnya bukan sahaja manusia pertama di dunia yang menulis “satira”—dengan sederet kata kabur juga sindir— tetapi dia juga telah menulis “lampoon”; inilah surat-surat cerca!

Pada ketika itu juga kemudiannya dia menghasilkan epistle: sebuah karya Latin yang selalu dirujuk sebagai “Epistularum liber primus.” Kepada semua—disanalah maksud dan pelantar orasi saya malam ini akan bertolak.

***

Maaf karena minggu lalu saya tidak hadir, sedangkan, ada yang menunggu hingga larut.

Kita sesungguhnya sedang membangunkan sebuah pekerjaan yang pada mata orang barangkali sudah tidak punya kiblat dan harap—tapi kita tetap punya cita karena saya yakin sama sekali bukan sedikit hari ini yang misalnya gelisah dan cemoh dengan media, kebudayaan, intelektual, dengan politik dan kekuasaan yang semakin bacul.

Sejak gelodak Reformasi tujuh tahun lalu sepatutnya sudah mampu memahamkan kepada kita betapa kaum muda tidak boleh lagi berlebih-lebih bergantung tali kepada si tua—“tua” nampaknya adalah selalu simbol korup yang maha tegar. Cuma, kita bersyukur apabila dalam tiap ketika, dalam tiap zaman; akan ada sebuah lorong yang lain, yang kini sedang kita cuba untuk teroka. Nama lorong ini adalah “mandiri” dan “ikhtiar.”

Sebelum ke sana, saudara-saudara semestinya sahaja sadar antara yang mencetuskan alasan tidak sama sama sekali dengan yang menyatakan jawapan. Beginilah saya mulai daripada “Epistularum” tadi, pada baris ke 40 dalam fasa 2, atau baris ke 148 keseluruhan, apa kata Horatius (?)—katanya “[D]imidium facti, qui coepit, habet; sapere aude.”

***

SEBELAS abad yang menyusul, Kant menemui dan mengangkat istilah pada akhir kata itu menjadi slogan tunggal: “sapere aude!” Di permukiman Konigsberg yang sekejap lagi bakal diliput salju musim dingin, di dekat Prussia; kata “sapere aude” langsung berkembang atas tafsir—dan barangkali atas keperluan—penghujung abad ke-18.

Immanuel Kant—filasuf dengan “esei 30 September” yang ulung itu; “Answering the Question: What is Enlightenment?”—adalah bulat berhujung-pangkal kepada kata dari karya Horatius tadi. Kita mendengar lantaran Kant yang menulis secara tetap dalam penerbitan Berlinische Monatschrift, [atau, “Bulanan Berlin”] adalah tidak lain tidak bukan untuk berhadapan dengan persoalan-persoalan dari seorang teman yang bertugas dengan pemerintah. Kepada Kant, temannya itu Reverend Johann Friedrich Zöllner tiada putus mengasak untuk memahami makna “Enlightenment” dalam surat-surat yang dia utus kepada Kant—dan kini “pencerahan” pun menjadi bagian persoalan bangsa kita pula…

Ia kian penting sebaik sahaja “kata” jadi retorika; bilamana “retorika” jadi “cogan kata.”

Teman-teman dan kekasihku,

“Menjawab”—atau berhujah cara ini—misalnya, akan mudah dianggap sebagai “retorika” dalam konotasi hitam dan malang. Aku lihat ramai yang menganggap ‘praktis-bijak’ diri mereka, yang selalu tampil ke muka bicara dengan membentangkan angka-angka atau graf; dengan membuka kertas pelan perdagangan atau rancangan membangunkan masyarakat—bila tiba pada tingkat bahasa seperti bahasaku ini, manusia cenderung melihat “idea” hanya sebagai kata-kata kosong atau itulah tadinya, sebagai “retorika” dalam konotasi hitam dan malang.

Karena itulah pada kurun ke-8, karya-karya Horatius dianggap sebagai mencerca bangsanya, juga barangkali telah menghina pemimpin besar dan kesatria yang pada hari lalu Horatius tuduk menyerahkan dirinya.

Lantas kepada mereka, kita perlu tegas mengadapkan soalan-soalan kalau memang benar selama angka, graf dan pelan adalah segala-galanya. Manusia yang tidak berfikir akan terus menganggap dirinya benar selagi dia tidak didatangkan ujian.

Inilah antara ujian kita dengan menanyakan secara jelas akan beberapa hal seperti~Mengapa perlu dibongkar hutan dan dibangunkan tanah-tanah perumahan yang baru walhal di wilayah-wilayah atau kota-kota, pergedungan masih berlebihan (?), rumah kekosongan tapi kadar sewa masih juga mahal!

Tuan—begitu sahaja kita panggil diri mereka yang minta kita tunduk—apakah tujuan tuan mencetak surat-surat khabar setiap pagi (?), walhal, kamiguriga yang tuan cetak itu sebenarnya hanya propaganda dan kata nesta yang tanpa kaseh apa pun! Mengapa perlu tuan izinkan seorang yang berdegil dan berpandangan jejek duduk di kerusi itu, berkuasa dan dibayar upah lumayan pula(?), walhal kami sudah tahu dia adalah pelaku korup, pecah amanah dan pecundang!
Tidakkah demikian tuan ada berfikir dahulu?

Teman-teman dan kekasihku,

Soalan~sesungguhnya tidak sedikit dan alasan [yang belum tentu “jawapan”] juga selalu bertimbun berlebihan ketimbang “persoalan” itu sendiri. Jadi, sungguhkah “menjawab” selalu bermula dengan men-jawab? Kenyataan ini sama seperti dari mana keberanian untuk tahu; “sapere aude” sesungguhnya muncul dan diberi tafsir di Eropah? Selalukah ia telah bermula dengan “keberanian” secara tunggal dan muthlak untuk mencerca seperti yang dilakukan Horatius, atau seperti peri pentingnya untuk sebuah kesadaran pada kurun ke-18 itu?

Kalau dua jarak masa ini diambil kira, maka, Eropah sendiri terpaksa mengambil masa begitu lama untuk menyalakan sebuah harapan yang dicapai dalam pencerahan; untuk tidak kembali semula ke zaman edan dan jahiliah laku. Saya menjadi begitu takut apabila merasakan bahawa bangsa kita tidak dijamin sesiapa—termasuk tidak ada jaminan oleh Tuhan—bahawa kita akan bebas daripada cengkaman kegelapan. “Tuhan telah pergi”: begitu sepotong kata dalam puisi “Sidang Roh” yang ditulis Kassim Ahmad.

Yang melatah akan melatah lagi—selama itulah rasional tidak hadir.

Tapi, memang benar Tuhan telah pergi apabila Dia sendiri menyatakan bahawa manusia harus menyelesaikan persoalan dan masalahnya sendiri. Manusia yang punya daya hidup untuk berhadapan dengan sakit-pening sampailah kepada daya membangun pelabuhan dan kapal yang boleh membelah badai dan udara, untuk menyusun konsep perdagangan dan politik. Untuk berlaku adil dan tidak adil, untuk meneroka apapun, maka, balasan tidak lagi segera di dunia.

Tuhan tidak ada di sini, karena, Tuhan—selepas Muhammad adalah Nabi akhir sepertima ajaran Islam—telah memilih tidak turut campur tangan dalam urusan manusia, termasuk urusan politik. “Telah Aku sempurnakan kepada kamu ugama kamu,” begitu firman Illahi yang kita dengar. Dan kepada umat, tanpa hujah metafizika, tidak akan ada lagi Nabi selepas Muhammad—seolah-olah Tuhan memilih tidak mahu memanjangkan kuasanya atas urusan dunia, yang, kepada umat sebelum Muhammad, hukum akan selalu segera dibuat.

Teman-teman dan kekasihku,

Kala inilah datang suatu kuasa lain, yang, dengan sedar atau tidak, mahu menggantikan kuasa Tuhan. Jalan paling selamat untuk duduk di tingkat kekuasaan wakil Tuhan adalah dengan memperdagang atau meletakkan nama Tuhan itu sendiri di hadapan aksi politik. Fahaman ini sudah menjadi cukup sulit sehingga zaman pun bisa mulai curiga kepada ugama—sebuah ruang yang hilang hening dalam diri insan. Betapa pilunya ketika membunuh; nama Tuhan disebut dengan lantang…

Kemahuan manusia untuk tahu, yang terangkum dalam kata “sapere aude” ditandakan sebagai “nafsu,” dan nafsu dikaitkan dengan kejahatan, atau setan. Tetapi, dalam diri manusia juga bukan tidak punya hasrat. Dengan menuduh hasrat sebagai “nafsu” adalah “aksi politik” yang paling awal untuk mematikan persoalan dan penentangan; untuk membungkam suara pencarian; untuk mengawal dan menundukkan yang lain. Instutisi dan lembaga didirikan, undang-undang diciptakan, dan peraturan jadi lebih penting ketimbang pertimbangan akal dan nurani. Akal-budi; dengan apa jua cara, harus ditikam-mati. Kita seolah-olah mendengar suara yang nyaring ini, dan semakin selalu kita dengarkan: “kata-kataku adalah kata-kata ugama kamu, dan kata-kata ugama adalah Titah Tuhan di tanganku.”

Sebermula, di mana tersisanya makna manusia dan bagaimana manusia bisa mengakui wujud Tuhan tanpa dia mengakui akan wujud manusia dan hidup ini?

Giovanni Pico Della Mirandola—jangan kita lupa dia. Milandola adalah seorang paderi kurus yang bukan sahaja tahu, tapi taat ugama; dalam orasi yang termashyurnya itu menjelaskan akan konsep “human dignity,” atau “harga diri insan.”

Kata Milandola, begini; “[A]ku mendengarkan dari Abdala [atau nama itu disebut dalam kata Arab sebagai “Abdullah”] seorang Muslim, bila ditanya kepadanya [kepada Abdullah] apakah yang sangat layak dikagumi dan menjadi teras kepada dunia, (Abdala) menjawab; tiada ada yang lebih agung selain manusia.”

Milandola—yang taat ugama; yang taat Tuhan itu—langsung diam. Dialah yang kemudiaannya menuliskan sebuah ucapan yang termahsyur dengan tajuk, “Oration on the Dignity of Man.” Kesadaran orang alim ini kemudiaannya menjadi “manifesto” dan batu tanda kepada kebangkitan bangsa Perancis untuk bebas daripada Zaman Gelap pada kurun ke-15. “Keberanian untuk tahu” sepertimana yang diungkapkan oleh Kant berlatarkan kesadaran Milandola terhadap karamah insaniah; harga dan harkat diri manusia. Dan, saya tegaskan kepada politikus yang memakai baju ugamawan bahawa kesadaran Eropah ini muncul kira-kira 450 tahun selepas Muhammad menyampaikan ajaran Tuhan bahawa manusia itu mulia.

Manusia akan kekal mulia selagi mana dia bebas dalam “penjalanannya” dan tatkala ia mulai dikongkong atas nama apapun, kemuliaan atau karamah itu pun teragut. Boleh. Memang manusia boleh kekal menjaga kemuliaan dirinya kalaulah ia tahu bahawa membebaskan diri dari kongkongan, sama derajatnya dengan membebaskan diri dari segala patung berhala, termasuk patung-patung kekuasaan yang mencengkam.

Semua ini membuatkan saya merenung puisi Horatius tadi: "Engkau harus berfikiran bahwa versa patut mati, Dengan bunyi Thames perak itu nan jauh, Pandanglah pada sayap kebenaran untuk terbang; Di atas melangkaui lagu nan burok."

Teman-teman dan kekasihku, lihatlah ke arah anak kecil yang didokong oleh ibunya ketika melintasi jalanraya. Dengarlah kata-katanya yang sederhana apabila si anak ternampak seekor anjing digilis kenderaan. Apa katanya~“ibu, lihat anjing itu… kasihan bukan?” Maka, apa jawab sang ibu? Jangan dimarahi, dan tidakkah kita berfikir.
Kepada si anak, belum sampai kepadanya ajaran ugama apa pun dan Titah Tuhan mana pun yang meminta agar dia berkaseh-kaseh kepada binatang dan gunung-gunung untuk memberi "petunjukkan" dan berkata "kasihan" ke atas anjing yang bukan belaannya. Barangkali kerana itulah Kant meletakkan sebelum kata Horatius itu, “sapere aude” akan sebuah asas yang kuat dengan apa yang disebut sebagai “selbst verschuldeten Unmündigkeit,” yakni, “ketidakmatangan dan kebergantungan.”

Dalam hayat anak kecil itu sekalipun, dia seperti kita tidak punya masa yang terlalu lama.

Sekian. Terima kaseh.

*(Pertama kali dialih bahasa ke bahasa Inggeris oleh Alexander Pope: 1688-1744).

17 Februari 2006 / 18 Muharam 1427