Monday, January 16, 2006

Empat Ratus Kilometer Jauhnya dari Parlimen

ADA sepotong skeptikal dari kampong saya. Kubur masing-masing—begitu kata beberapa orang yang bersembang di warong. Sebahagian daripada mereka kaki daun terop, dan sebahagian yang lain, bukan. Siapa kata mereka sedang bertegang urat?

Judi seakan-seakan sejenis “tradisi hiburan” yang misteri, selain sejenis "politik" yang di zaman kunonya menjadi kaedah untuk menawan.

Dalam filem Nujum Pa’ Belalang arahan P Ramlee (1959) membayangkan bagaimana judi boleh mencapai tingkat helah politik. Helah dan mainan konspirasi jadi mainan antara pemimpin tertinggi negara; antara Sultan Shahrul Nizam (lakonan Ahmad Nisfu) dengan protogonis iaitu Sultan Baginda Masai (lakonan Shariff Dol) untuk berebut kerajaan masing-masing.

Sikap ini turut didokong oleh para menteri, dan intelektual tentunya memainkan peran penting. “Intelektual” diganti nama dengan dua watak, iaitu “Pak Belalang” dan “ahli Nujum Negara Masai.” Filem yang merangkul anugerah filem komedi terbaik di Festival Filem Asia pada 1960 di Jepun menunjukkan bagaimana kata “judi,” dalam bahasa Melayu ada kalanya disebut “bertaruh.” Ada kalanya dengan istilah yang sangat manis, seumpama “teka-teki.”

Kostium dan war drops dalam Nujum Pa’ Belalang tiada membayangkan identiti mana-mana bangsa, mahupun mana-mana zaman dengan jelas—dengan itu, kita boleh menduga bahawa filem itu cuba membawakan satu kenyataan bahawa judi adalah bahagian daripada “sifat politik” yang tua dalam sejarah manusia: tiada penting kepada bangsa apa, atau negara apa.

Saya membesar pada tahun 80-an, dan di kampong, apabila nelayan-nelayan balik dari menangkap ikan, apabila pekebun habis memetik kelapa, ada yang duduk-duduk sambil “buka daun terop” di pondok di dekat jeti. Mulanya, dalam usia yang terlalu budak, saya takut mendekati, tetapi apabila umur saya sedikit dewasa, saya memberanikan diri untuk melihat ‘misteri’ pondok itu.

Beberapa orang yang tua, dan yang muda-muda, di sana—ramai yang saya kenal. Ada bapa kawan, ada jiran, ada saudara mara. Saya lihat di satu meja judi agak ke dinding, ada bapa yang berjudi lawan anaknya sendiri. Wang kertas daripada pelbagai warna bertabur. Tidak ada not seratus. Paling besar, seingat saya, cuma lima puloh ringgit. Tidak ada wang syilin. Maka, saya tahu bahawa judi daun terop adalah antara tradisi di kampong ini.

Antara yang bermain judi ini bukan tidak pernah diberkas polisi. Mereka tidak begitu cuak kalau polis itu polis daerah, atau polis pekan. Bagi mereka, polis jenis “calit’ ini boleh diurusi mudah… tapi tiap kali jip polis masuk jalan menuju pondok, tiga-empat orang terjun ke selut lumpur. Beberapa orang pun ditangkap. Khabarnya pernah pasukan daripada Bukit Aman sendiri yang menyerbu. Isu itu besar dibincangkan di warong, beberapa minggu.

Pondok tepi jeti itu kira-kira satu kilometer daripada main road Batu Pahat-Muar, dan kampong ini kira-kira sembilan kilometer daripada bandar Batu Pahat.

Di dalam kereta polis, mereka dibawa dengan tangan bergari, dengan muka yang comot lumpur dan sepanjang di jalan tanah merah kampong, mungkin ada anak-anak, keluarga mahupun isteri mereka sendiri yang melihatnya. Bapa atau suami, atau abang, atau adik menjadi OKT (“orang kena tahan”), yang tersenyum dibawa dengan trak biru tua. Tidak ada yang menangis. Seperti tidak perlu kekesalan yang berlebih-lebih. Kalau perlu diikat jamin, satu-dua hari nanti, ahli keluarga akan ke balai polis, atau, akan ada simpatisan yang menjamin.

Di hari lain, di minggu lain, yang kaki-kaki judi pasti berkumpul semula. Bertaruh lagi.

Setiap Jumaat, waktu senggang sebelum khutbah dan sembahyang, mereka berkumpul tepi kolah tempat berwuduk. Seperti di warong kopi, termasuk dengan ustaz-ustaz dan guru-guru agama, mereka bercakap-cakap lagi. Dengan beberapa orang yang bukan “taik judi” mereka boleh bercakap tentang peristiwa diserbu Polis dari Bukit Aman, dan ditangkap. Kemudian sama-sama ketawa apabila menceritakan bagaimana ada yang menggeletar lutut dalam salut lumpur. Bertongkah pula pada kayu; takut-takut terpegang ular air yang sama warna dengan pokok bakau.

Kemudian, di hari-hari yang lain, orang kampong sama berkenduri—ada teruna-dara yang berkahwin dan hidup bersama di rumah anak kaki judi, dengan, yang bukan.

Hanya sekitar pertengahan tahun 90-an, saya mulai merasakan ketegangan. Guru-guru agama, iman dan ustaz yang tua, seorang demi seorang kembali ke rammahtullah. Tempat mereka digantikan dengan orang baru. Dan orang baru; mungkinkah mengekalkan ruang yang sebegini demokratik? Saya lihat tidak.

Saya lihat, pengaruh parti-parti politik fundamentalis-fuedal lebih kuat daripada rasa bersedara, antara, yang berjudi dengan yang tidak. Antara yang dianggap baik dengan yang tidak. Antara yang yakin dirinya puteh, dengan yang mengakui ada calar pada diri. Kampong saya, mula terpisah.

Rasionaliti, atau yang lebih mudah lagi toleransi bukan perkataan yang boleh disebut oleh orang-orang tua di kampong. Perkataan itu hanya sampai melalui anak-anak yang bersekolah paling kurang sampai tingkatan lima. Itu pun tidak semua mampu menyadap maksud kedua kata muluk itu. Tapi, sejak dahulu, ada beberapa perkataan yang lebih mudah difahami, seperti “tolak-ansur,” dan “masuk akal.” Kedua perkataan itu masih mengandung makna yang tidak jauh bezanya dengan “toleransi,” dan “rasional.”

Dua istilah ini adalah istilah asas dalam politik demokrasi—satu sistem hidup bersama, yang sekular, yang menyedari betapa dirinya memang “tidak sempurna”… Bahkan, perkataan “toleransi” kali pertama saya temuikan secara sahih dan diperbincangkan dalam matapelajaran Agama Islam tingkatan empat.

Umno dan Pas. Dua parti ini cukup kuat menguasai arus dan corak pemikiran orang Melayu, sejak hari awal kedua parti ini ditubuhkan. “Menguasai” pemikiran orang Melayu di Malaysia, bermaksud menguasai pemikiran majoriti pengundi. Kemudiaannya, mahu tidak mahu, golongan minoriti akan pelan-pelan turut “menyertai” atau mengikuti corak pemikiran yang sama.

Malah, akhir-akhir ini, kedua parti ini tanpa segan silu lagi datang berdakwah kepada warganegara yang bukan Islam. Di hati mereka, agama yang benar, tentu sahaja “agama yang kami bawakan ini.” Baik Umno atau Pas.

Sebelum melepaskan jawatan sebagai PM, Dr Mahathir mengistiharkan bahawa Malaysia adalah “Negara Islam.” Retorika itu cukup kuat, lebih sedekad lamanya, dilaungkan Pas. Dilaungkan dengan konsisten—cuma sekejap ketika gelombang Reformasi 1998, retorika itu sedikit tenggelam.

Pengumuman PM Mahathir menandakan sikap yang kalah. Umno yang memilih jalan nasionalis sekian lama pun tunduk, dan menjadi apologetic.

Dengan pengaruh kaum agamawan generasi baru, yang mendapat pendidikan fundamentalis, maka faham “negara Islam perlu ditegakkan” merupakan faham popular masa kini. Cuma, antara Umno-dengan-Pas, yang sedang dipertimbang ialah “dealing with time.” Pas hendak segera negara “Islam yang sebenarnya” tertegak segera. Umno pula, cuba bermain dengan ‘bijaksana’, iaitu mewujudkan perasaan di kalangan umat bahawa mereka juga sedang berusaha untuk mencapai negara Islam, tapi berperingkat-peringkat.

This is the matter of time—kata seorang kawan yang punya Ijazah dari Universiti Cambridge. Dia—biar pun berpendidikan sekular-Barat—terang-terangan percaya untuk penubuhan sebuah “negara teologi.” Hanya, seperti yang dikatakannya, “…the matter of time.” Biar masa yang akan menentukan…

Umno, biarpun parti ini punya jumlah ahli yang banyak, tetapi, angka itu sama sekali tidak boleh diambil kira bagi menggambarkan parti itu mempunyai kesedaran yang jernih untuk dipertanggungjawabkan menjawab persoalan ideologi-teologi dan sekularisme. Bahkan, Umno di zaman Mahathir, Umno kira-kira sejak 20 tahun yang lalu merupakan sebuah parti yang memang sediakala lemah pemikirannya. Simplicity Mahathir, menjadi simplicity parti—bahkan Mahathirisme inilah yang turut dikongsi banyak parti politik lainnya. Juga para pemain di pentas politik, yang, menyangkal Mahathir. Sesiapa pun boleh melihat bagaimana ketika berhadapan dengan hujah Pas di tingkat yang paling bersentimen sekalipun, Umno kecundang.

Harapan demokrasi, nampaknya tidak ada lagi pada kedua-dua parti ini…

Kampong saya jauhnya empat ratus kilometer dari Parlimen—"tempat" di mana dasar-dasar dan segala kepentingan bernegara digubal. Tatkala kualiti perbincangan di parlimen menjadi rendah, dalam masa yang sama, kedua parti terbesar orang Melayu itu sedang berbicara bagaimana menunjukan diri siapa yang lebih "agamawis." Menguatnya kekuasaan sebenarnya sama dengan melemahnya ruang sivil. Parti politik yang kuat, terdedah dengan daya masyarakat yang lemah. Ini berlaku di zaman mana pun. Dalam era Seokarno, atau Seoharto. Dari Nazi sampai Mahathir.

Tatkala itulah, kedua sisi Umno dan Pas—dua parti terbesar yang mewakili orang Melayu—seakan-akan sudah bersetuju dengan konsep “negara teologi.” Percakaran antara dua parti itu hari ini hanya dalam hal menonjolkan diri—perangai yang lebih tidak rasional daripada “taik-taik judi” di sebuah pondok judi.

Di kampong saya, kaki judi tetap ada lagi, tapi dalam format sedikit baru—mereka tiga-empat kali seminggu akan ke bandar untuk menikam nombor ekor. Bezanya, mereka sudah tidak punya peluang untuk duduk semeja dengan ustaz dan imam-imam yang di mulut mereka ada “Allahuakhbar”—tatkala dunia ini, seperti sudah tiada ada calarnya lagi.

Tidak seperti lama dahulu, ketika ada sepotong skeptikal yang mudah, yakni; kubur kau, kubur kau; kubur aku, kubur aku—masing-masing; di kala masih ada yang bersalaman dan berbicara apa sahaja. Lebih empat ratus kilometer jauhnya dari Parlimen, orang-orang kampong ini pernah bergurau senda dan tahu erti hidup bersama, dan, "ber-sedara."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home